Thursday, January 7, 2010

Nukilan untuk seorang sahabat





Nukilan ini saya tujukan khas buat seorang sahabat... 


Segalanya saya luahkan di sini kerana saya tidak mampu untuk menuturkan semua dihadapannya. Pertama sekali, saya ingin menyatakan bahawa saya sangat senang sepanjang berkawan dengannya. Banyak benda yang telah saya kongsikan bersamanya, daripada gurauan, cerita kerjaya, cerita keluarga, cerita gembira tentang hidup, cerita sedih dan lain-lain. Sampai dia mengibaratkan saya melengkapi kehidupannya... hehe. Saya terima kata-kata beliau kerana itu adalah hak masing-masing untuk mengibarat saya sebagai apa dalam kehidupannya, selagi ianya baik biarlah dia berterusan beranggapan begitu. 


Namun begitu, setelah sekian lama bersama, perpisahan akan menjemput kami. Jelas kelihatan di wajahnya rasa sedih yang memang tidak dapat dia sembunyikan dari saya. Tetapi inilah kehidupan, telah berulang kali saya ingatkan dia tentang perkara yang bakal berlaku itu,namun nampaknya dia masih belum bersedia untuk melengkapkan diri dengan perpisahan. 


Apapun yang berlaku ini adalah ketentuan dari tuhan, dan dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya. Apa yang saya harapkan, agar sahabat saya ini jangan terus bersedih kerana saya tidak akan pernah melupakannya. Harapan saya juga semoga beliau terus tabah dan dikurniakan kesabaran untuk meneruskan kerjaya di sini tanpa saya di sisi. Kerana selagi tuhan masih membuka rezeki di sini, selagi itulah rezeki beliau di sini. Mudah-mudahan tuhan membantu dan memberi kelapangan dada kepadanya untuk terus berada di tempatnya. 


Segala kenangan indah bersama akan terus terpahat rapi dalam ingatan dan hati saya. Terima kasih atas segala perhatian dan pertolongan yang telah diberikan sepanjang kita bersama. Sesungguhnya segalanya tidak akan dapat saya balas. Terima kasih juga atas kasih sayang yang dihulurkan. Saya terima segalanya dengan ikhlas kerana persahabatan yang saya jalinkan dengannya adalah satu hubungan persahabatan yang ikhlas dari hati. Doa saya semoga hidupnya dilimpahi dengan rahmat dan sentiasa bertemankan kebahagiaan.       


Sekian, buat seorang sahabat yang setia.


'Sahabat terbaik adalah dia yang dapat duduk berayun-ayun di beranda bersamamu, tanpa mengucapkan sepatah katapun, dan kemudian kamu meninggalkannya dengan perasaan telah bercakap-cakap lama dengannya.'


1 comment:

  1. mungkin jika ini benar-benar terjadi, saya beranggapan bahawa sekali lagi...doa anda dimakbulkan tuhan...tahniah daripada saya!!!

    ReplyDelete