Sahabat dan kawan dua perkataan yang berbeza bukan sahaja berbeza dari segi ejaan tetapi juga berbeza dari segi maknanya. Pada saya kita mudah untuk berjumpa insan yang menjadi kawan tetapi sangat sukar untuk bertemu dengan insan yang boleh menjadi sahabat. Kawan akan bila-bila masa sahaja menjadi lawan.
Berlainan dengan sahabat, mereka ini sentiasa ada bila kita berada dalam kesulitan, sentiasa berdiri di belakang kita untuk menjadi benteng kedua sekiranya kita rebah dan ditimpa masalah. Tetapi bilangan sahabat ini tidaklah ramai kerana tidak semua orang mampu untuk menjadi sahabat.
Ciri-ciri seorang sahabat dan kawan sangat mudah untuk dinilai. Seorang sahabat akan sentiasa ikhlas dengan sahabatnya, dalam segala segi, sentiasa berada di sisi tanpa perlu diminta. Sementara seorang kawan hanyalah peneman di saat tertentu, sekiranya waktu kerja hanya waktu itulah masanya untuk kita.
Dalam hidup saya, ramai yang telah saya temui sejak zaman persekolahan (kanak-kanak) sehingga kini. Bilangan sababat yang ditemui boleh dibilang dengan jari. Apabila masuk alam pekerjaan lagilah sukar menemui sahabat, rata-rata semuanya hanyalah kawan yang kini kebanyakannya menjadi lawan. Mereka tidak ikhlas menjalin persahabatan, masing-masing ada niat tersendiri untuk menjatuhkan orang, mencari kesalahan orang dan seterusnya memfitnah orang.
Golongan ini sangatlah ramai dan tidak akan senang melihat kesenangan orang lain. Rasa iri hati sentiasa menghantui sehingga sanggup memfitnah dan mentertawakan orang apabila musibah menimpa. Suasana begini tidak asing ditempat kerja saya. Dan rasanya ia tidak akan berubah sampai bila-bila.
Tetapi hidup mesti diteruskan, walaupun golongan ini berada disekeliling saya sekurangnya sahabat masih tetap saya jumpa dicelah-celah golongan ini. Walaupun bilangannya tidak ramai tetapi sudah memadai untuk menjadi teman di kala suka dan duka. Sesungguhnya saya bersyukur dengan kehadiran mereka disisi.
Bagi golongan kawan yang kini menjadi lawan, sesungguhnya penyakit hati kalian semakin parah dan semakin berakar umbi dalam diri masing-masing. Jika dibiarkan akan menjadi barah yang akan menjalar keseluruh tubuh kalian. Tetapi sayangnya saya tidak berdaya untuk lakukan apa-apa, kerana kalian bahagia dengan apa yang telah kalian ada, dan saya hanya mampu untuk melihat segala gelagat dan segala pembohongan yang kalian taburkan.
Semoga tuhan memberi kekuatan kepada saya untuk terus tabah berhadapan dengan orang-orang sebegini. Amin.....
Salam...
ReplyDeletesaya juga berdoa agar anda sentiasa tabah dalam mengharungi liku hidup, onak berduri dalam setiap perjalanan kehidupan anda...