Agak sukar untuk saya melelapkan mata malam ini, setelah sekian lama bergerak resah di atas katil, terus saya bangun untuk menulis dalam blog ini. Banyak benda yang hendak saya luahkan disini sebenarnya tetapi apabila berhadapan dengan laptop terus semangat saya hilang untuk menulis, banyak benda yang berlalu begitu sahaja dan apabila telah terlalu lama, ia luput dari ingatan saya. Elok jugalah ia luput dari ia menjadi beban dalam hati dan kepala saya. Nikmat juga apabila lupa ni sebenarnya, tiadalah derita terlalu lama mengingat benda yang sudah tentunya tidak beberapa seronok untuk dilalui. Kesukaran untuk melelapkan mata membuatkan malam berlangsung begitu panjang, kalau dapat tidur sudah tentu nyenyak sungguh dibuai mimpi dan nasib baiklah esok masih cuti, kalau tidak entah macamanalah hendak bekerja.
Dalam keheningan malam dan sebenarnya pagi ini membawa saya mengingati peristiwa yang telah berlaku dalam hidup saya, peristiwa yang sangat-sangat menekan jiwa saya selama menjalani kehidupan ini. Ternyata bukan mudah untuk hidup didunia ini, kebahagian dan kesedihan sering bersilih ganti memenuhi liku-liku kehidupan memenuhi janji yang telah saya buat dengan ilahi. Saya merancang sehabis baik tetapi kalau takdir berkehendakkan lain maka jadilah ia sebagaimana kehendaknya.
Segalanya bermula apabila semua kesalahan ditunding ke arah saya, walhal ia bukanlah kesalahan yang sepatutnya saya tanggung seorang diri. Saya berdiri keseorangan, dengan semua pandangan sinis memerhati saya. Menyalahkan itu dan ini, segala pengorbanan yang telah saya curahkan ibarat tiada nilainya pada pandangan mata mereka. Saya menghadapi semua ini, dengan mulut yang tidak terucap kata, tidak tahu kepada siapa untuk saya pergi meminta bantuan. Tiada siapa yang tahu keadaan sebenarnya diri saya ketika itu, betapa tertekannya saya menghadapi situasi yang sangat-sangat membebankan. Setiap hari ada sahaja kesalahan baru yang mereka wujudkan untuk memburukkan saya. Apabila bercerita kepada seorang kawan, air mata tidak terkeluar tetapi apabila saya berseorangan air mata tidak hentinya mencurah. Hidup tetap diteruskan, saya melangkah longlai dan tiada semangat, kegembiraan juga payah untuk singgah dihati saya, senyuman yang terukir sekadar hiasan memanis rasa. Tekanan demi tekanan yang diberikan membuatkan saya berfikir hebat sungguh si dia ini memberi tekanan mental kepada saya. Dan sebenarnya bukan ini sahaja yang harus saya hadapi, dalam masa yang sama terdapat satu lagi perkara yang menambah kesedihan saya. Kedua-dua perkara ini seolah-olah cuba memusnahkan hidup saya. Betapa merananya saya ketika itu hanya tuhan sahaja yang tahu. Pada ketika itu saya membayangkan saya berada di atas tempat yang tinggi, dan tempat yang selamat hanyalah tempat dimana kaki saya berpijak dan itupun tidak sekukuh mana. Ketika ini jugalah kesihatan saya mula merosot akibat tekanan dan mungkin juga disebabkan oleh perkara-perkara yang lain.
Kini peristiwa yang sama berulang kembali, cuma kali ini giliran orang lain pula, seolah-olah sejarah berulang. Saya menjadi pendengar kepada setiap luahannya dan saya memahaminya kerana saya pernah melaluinya. Bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang, bukan mudah untuk melaksanakan tanggungjawab, bukan mudah untuk melalui kehidupan. Telah sehabis baik diberikan dan sekiranya ia masih belum memadai, bagaimana lagi harus dilakukan.
Perkara-perkara yang berlaku ini bukan sahaja memberi tamparan yang hebat kepada hidup saya, tetapi terasa bagai ditampar muka ini berkali-kali. Maruah saya seolah dipermainkan, fitnah menjadi perkara yang diperkatakan untuk menambah buruknya nama saya. Debaran didada ini sentiasa kencang menanti sampainya cerita-cerita baru ditelinga saya. Tidak dinafikan ada orang yang berbahagia dengan apa yang berlaku terhadap saya. Berbahagia dengan melihat penderitaan orang lain, orang jenis ini memang ramai sebenarnya didunia ini.
Agak panjang juga luahan saya ini, memadailah untuk kali ini, hari pun telah hampir subuh. Muncul juga rasa mengantuk akhirnya...