Saturday, March 27, 2010

mencari bahagia yang hilang


Sementara mata masih belum mahu lelap, disamping saya menunggu untuk melepaskan pukul 12 malam, saya ingin menulis tentang sesuatu. Satu topik yang mahu saya perkatakan malam ini ialah mencari bahagia yang hilang. Bahagia sesuatu yang sangat subjektif, sama seperti cinta. Orang boleh menilai bahagia dari berbagai sudut, samada dari sudut kebendaan, kerjaya, cinta, hubungan kekeluargaan, persahabatan dan lain-lain. Dari segi luaran apabila melihat seseorang itu ceria, berjaya dalam kerjaya, mempunyai keluarga yang mantap dengan kasih sayang, dikelilingi dengan sahabat-sahabat yang baik, boleh dikatakan dia memiliki segalanya. Tetapi untuk diri seseorang kebahagian sebenarnya ialah dihatinya. Ketenangan hati adalah kunci kepada kebahagiaan. Kebahagiaan juga boleh hilang, mungkin disebabkan kesilapan sendiri atau disebabkan oleh perbuatan orang sekeliling, yang memang tidak dapat dinafikan mempunyai macam-macam ragam. Ada yang berpura-pura baik dihadapan sedangkan diri sebenarnya mahu mengenakan orang lain. Sama ada untuk dia disukai ataupun untuk membuat hidup seseorang merana, dan seterusnya menghilangkan kebahagiaan orang lain. Sedangkan sebenarnya kebahagiaan sendiri boleh dibina tanpa perlu meruntuhkan kebahagiaan yang telah sedia ada. Itulah namanya manusia, yang bersifat serba kekurangan dan kadangkala naif ataupun berselindung disebalik kenaifan. 



Izhan banyak termenung sekarang, hidupnya semakin sunyi kerana dia telah diketepikan oleh Adrina. Semakin dibiarkan semakin Adrina melupakannya, entah dimana silapnya, Adrina tiba-tiba sahaja berubah menjadi terlalu sibuk dengan aktivitinya. Dari pagi dia berkerja sampai kadang-kadang pukul 5.30 petang, tetapi dia tidak terus pulang ke rumah, ada sahaja tempat persinggahannya. Dan tempatnya adalah tempat yang sama setiap hari. Izhan mengetahuinya tetapi dia tidak berdaya untuk berbuat apa-apa. Perlakuan Adrina kadangkala menaikkan kemarahannya, dan dibalas dengan kemarahan juga oleh Adrina. Ibarat api bertemu dengan minyak petrol yang terus menyambar sesiapa sahaja yang mendekatinya. Itulah ibarat hubungan Izhan dan Adrina. 

Oleh kerana itu, hidup Izhan yang sebelum ini sangat bahagia, menjadi tidak ceria dan sengsara. Dia benar-benar merindui saat-saat dia berkejar pulang dari berkerja untuk bertemu dengan Adrina, menghabiskan masa bersama-sama, berbual berbagai perkara dan macam-macam lagi yang sebelum ini mereka kongsi bersama. Malangnya, Adrina tidak heran dengan semua itu, dia lebih suka menghabiskan masanya ditempat itu, setiap hari. Kadangkala waktu cuti juga Adrina ketempat itu. Apakah yang sebenarnya terjadi....

Ia memberi tekanan yang hebat dalam hidup Izhan, kerana dia terlalu menyintai Adrina. Tekanan yang tidak tertanggung akhirnya membawa Izhan ke satu situasi yang membuatkan Izhan melutut sambil menitiskan air mata, dia menadah tangannya kepada Ilahi dan berdoa..... begitu panjang rintihannya dan begitu banyak air mata yang tertumpah ketika itu. Selesai berdoa tiba-tiba terasa meresap satu rasa yang asing dalam dirinya. Rasa yang tidak terluah dengan kata-kata. 

Izhan merebahkan dirinya seketika, tekanan mula pergi meninggalkannya sedikit demi sedikit dan akhirnya Izhan terlelap dalam jiwa yang mula tenang. Dia mula redha dengan kenyataan, kerana itulah yang terbaik untuknya. 


Ini adalah salah satu cerita yang berkaitan dengan bahagia yang hilang, memang sangat sengsara, dan kalau diikutkan sangat akan membuatkan seseorang boleh sakit jiwa dibuatnya. Cuma kita kena fikir berbaloikah semua ini, sedangkan orang yang membuat kita sengsara tetap berbahagia dan tidak kisah pun apa yang berlaku pada kita. 

Untuk mencari bahagia yang hilang itu, berserahkan kepada tuhan kerana dia tahu apa yang terbaik untuk kita. 


No comments:

Post a Comment